HABIBAH (bukan nama sebenar) menyambut dengan senyuman ketika bertemu dengan penulis. Wajahnya tampak tenang dan sedikit ceria, berbanding lapan bulan lalu iaitu kali terakhir penulis bertemu dengannya. Barangkali, kehidupannya sekarang lebih bahagia – penulis membuat telahan dan kesimpulan sendiri apabila melihat perubahan dirinya itu. “Apa khabar, lama juga tidak berjumpa,” sapa Habibah mesra. Seperti yang sudah diberitahu sejak awal, Habibah sememangnya sudah pun mengetahui tujuan pertemuan hari itu. Lalu, selepas bertanya khabar dan membuka sedikit kisah lalu, termasuk mengimbas awal pertemuan serta detik perkenalan kami berdua, akhirnya Habibah beralih babak cerita rumah tangganya. Katanya, sudi berkongsi pengalaman dengan pembaca melalui ruangan ini supaya dapat dijadikan iktibar atau pengajaran, terutama kepada anak gadis yang bakal melayari bahtera rumah tangga suatu hari nanti. “Barangkali memang sudah ditakdirkan jodoh kami hanya dapat bertahan 11 tahun saja. Itu pun boleh dikira agak lama juga dek kesabaran saya yang beriya-iya hendak mempertahankan rumah tangga. Tetapi apabila sudah tidak tertahan lagi, saya nekad menuntut fasakh supaya diceraikan,” katanya merenung kosong air kopi yang dihidangkan di atas meja. Wanita berusia awal 30-an itu mengakui, perasaan malu terutama pada keluarga membuatkan, dirinya rela makan hati dan berulam jantung, hidup bersama suami pilihannya sendiri. Justeru, dalam terpaksa dan mahu tidak mahu dia berusaha untuk mempertahankan mahligai dibina. Bagaimanapun, seksaan jiwa dan tekanan dihadapi akhirnya menyebabkan perasaan kasih serta sayang terhadap suami, hari demi hari semakin pudar. Lebih-lebih lagi, apabila suaminya semakin lupa tanggung jawabnya, tidak memberi nafkah zahir dan terus leka dengan hiburan dunia. Nasib baik, Habibah bekerja dapatlah menampung perbelanjaan rumah dan anak-anak. Walaupun sudah dikurniakan dua cahaya mata, suaminya tidak pernah mahu berubah. Kehidupan mereka sebagai suami isteri juga semakin tiada persefahaman, malah sebagai bapa dan ketua keluarga, Ismail tidak pernah menunjukkan contoh yang baik kepada anak, termasuk mengerjakan solat dan puasa. Jika dulu, Habibah yang bersungguh-sungguh hendak mengahwini Ismail sehingga sanggup berpatah arang, berkerat rotan dengan keluarga, sedangkan mengetahui calon suaminya itu sudah berkahwin dan beranak tiga. Namun, akibat tidak tertahan lagi menanggung kekecewaan dan keretakan hati, jalan penyelesaian terpaksa juga dicari. “Apabila teringatkan peristiwa lalu, ibu beberapa kali pengsan dan ayah berduka setiap hari apabila saya bertegas ingin berkahwin dengan suami orang, timbul perasaan kesal yang tidak berkesudahan. Saya tahu, apa yang sudah terjadi tidak boleh diubah lagi, tetapi membuatkan saya lebih sedih, dua minggu selepas kami bernikah ibu pergi menyahut panggilan Ilahi. Ibu pergi meninggalkan dunia bersama dengan hati yang penuh kecewa apabila saya, satu-satunya anak perempuan dalam keluarga enggan mendengar nasihat keluarga. Ayah pula lebih banyak berdiam dan sering membawa diri, manakala hubungan dengan dua abang saya pula semakin jauh,” kata Habibah dalam nada suara hiba dan lopak mata yang sudah mula bergenang. Kata Habibah, perkenalan dengan Ismail, seorang ahli perniagaan kira-kira 12 tahun tahun lalu menyebabkan dirinya buta hati menilai antara kaca dan permata. Mana tidaknya, setiap kali bermadu kasih dengan Ismail, Habibah dijanjikan ‘langit’ dan ‘bumi’ sehinggakan dirinya terpesona segala kata-kata yang diluahkan. Malah, setiap kali bertemu ada saja hadiah istimewa dan mahal diberikan, kononnya sebagai kejutan untuk Habibah. Habibah juga tidak malu mengakui, ketika asyik dilamun cinta isteri pertama Ismail ada datang bertemu dan menasihatkan supaya tidak termakan dengan janji manis suaminya. Namun, semua itu tidak dihiraukan apatah lagi, Ismail begitu bersungguh-sungguh cuba membuktikan cinta dan sanggup bertemu serta berdepan dengan orang tua Habibah bagi menyatakan hasrat untuk menyuntingnya. “Selepas berkahwin, saya tinggal di rumah bersebelahan dengan madu. Mula-mula semuanya berjalan dengan baik tetapi rumah tangga kami kemudian dilanda haru biru apabila perniagaan suami berdepan dengan pelbagai masalah. Sejak itu, suami mula buat perangai dan kemuncaknya, tidak balik rumah sehingga enam bulan. Bagaimanapun, menurut madu saya yang sudah 20 tahun berkahwin dengan suami, perkara seperti itu bukan baru baginya sebab itulah dulu dia cuba menasihati saya. Cuma, saya yang tidak sedar diri ketika itu,” kata Habibah sambil tersenyum kelat. Tidak tertanggung lagi melalui kehidupan bagaikan tidak bersuami, akhirnya Habibah dan madu berpakat melantik peguam syarie bagi memfailkan permohonan cerai menuntut fasakh. Ismail benar-benar berang dengan keputusan yang diambil oleh Habibah dan isteri pertamanya. “Suami agak terkejut dan amat marah dengan keputusan kami (Habibah dan isteri pertama). Mungkin juga dia tidak menduga perkara seperti itu akan berlaku tetapi dari awal lagi saya sudah beritahu kepada madu, biar apa pun terjadi saya tidak berganjak dengan keputusan yang sudah dibuat. Tidak sangka pula, isteri pertama juga mempunyai pendirian sama dengan saya,” cerita ibu kepada dua anak itu lagi. Meneruskan cerita Habibah berkata, suami yang sudah diasak dengan perasaan geram dan marah serta sudah hilang pertimbangan, kemudian bersetuju menceraikan isteri pertama dan dirinya. Lafaz cerai talak satu dengan kedua-dua isterinya diucapkan di hadapan Hakim Mahkamah Syariah hanya selang lima minit di Mahkamah Rendah Syariah. Bagaimanapun, kata Habibah, dengan persetujuan bersama, permohonan perceraian fasakh itu kemudian ditukar kepada permohonan perceraian biasa. “Hati saya sudah tenang dan kini kembali duduk bersama dengan ayah. Alhamdulillah, ayah juga boleh menerima kedua-dua cucunya. Hubungan dengan kedua-dua abang pula semakin baik. Tetapi saya kasihan juga dengan nasib bekas madu yang sebelum ini hanya suri rumah, kini terpaksa berdikari dengan bekerja sebagai tukang cuci pejabat. Bekas suami pula masih tidak sedar diri dan saya dengar cerita, dia sibuk bermadu kasih dengan anak gadis yang sebaya anak sulungnya,” kata Habibah yang kini lebih banyak bermuhasabah diri Read More: http://www.serikasih.com/kisah-rumahtangga-2-isteri-serentak-minta-cerai#ixzz229LuaBM0